Rakan serumah dicekik mati gara-gara cemburu

TAIPING – Gara-gara duit dan cemburu, seorang lelaki tergamak mencekik rakannya sehingga mati dalam kejadian di sebuah premis Jalan Panggung Wayang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek merupakan merupakan penyewa di bilik berasingan di tingkat empat premis berkenaan.

“Semasa kejadian, seorang saksi yang juga penyewa bilik berlainan terjaga dari tidurnya apabila terdengar bunyi bising dari arah luar biliknya,” katanya.

Menurutnya, saksi menyaksikan lelaki berusia 27 tahun sedang bergaduh dan mencekik mangsa sebelum dia berjaya meleraikan pergaduhan itu.

“Setelah pergaduhan itu dileraikan, mangsa dalam keadaan sesak nafas dan terus jatuh. Pasukan perubatan yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Punca pergaduhan dipercayai kerana masalah cemburu dan kewangan. Bagaimanapun, suspek telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

 

Sumber: SinarHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *