Pelik – Lelaki Kahwin Dengan Hologram

TOKYO – Seorang lelaki membuat keputusan untuk berkahwin dengan hologram watak animasi popular di Jepun, Hatsune Miku di kediamannya di sini pada 4 November lalu.

Kira-kira 40 tetamu menyaksikan perkahwinan Akihiko Kondo, 35, dan Miku yang hadir dalam bentuk anak patung, namun anggota keluarga pengantin lelaki tidak kelihatan.

“Bagi ibu saya, ia bukan sesuatu untuk diraikan,” kata Kondo kepada agensi berita AFP, seminggu selepas perkahwinannya.

Lelaki itu yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah, menganggap dirinya sama seperti lelaki berkahwin yang lain kerana isteri hologramnya akan mengejutkannya pada setiap pagi, mengiringinya sebelum ke tempat kerja serta mengingatkan waktu untuk tidur.

Hologram merupakan imej tiga dimensi yang terbentuk oleh alur laser.

Perkahwinan Kondo bersama karakter penyanyi realiti maya itu tidak sah di sisi undang-undang Jepun. Bagaimanapun, Gatebox iaitu syarikat yang menghasilkan peranti kecerdasan buatan hologram yang dapat membuatkan penggunanya berasa seperti hidup bersama karakter kegemaran mereka termasuk Miku, telah mengeluarkan ‘sijil perkahwinan’ mereka.

Sebelum Kondo, Gatebox juga pernah mengeluarkan lebih 3,700 sijil perkahwinan rentas dimensi dan sebahagian daripada individu tersebut turut menghantar mesej sokongan kepada Kondo. – AFP

AFP

Kondo bergambar di sisi sebuah kapsul yang memuatkan hologram Miku dan memegang patung anak patung ‘isterinya’ di pangsapurinya di Tokyo, Jepun pada 10 November lalu.

Sumber :Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *