Dengar suara suruh terjun flat

BUTTERWORTH- Suasana di sebuah flat di Mak Mandin gempar seketika apabila seorang lelaki dipercayai terjun dari tingkat tiga flat tersebut.

Namun nasib menyebelahi mangsa apabila hanya mengalami kecederaan ringan setelah terjatuh di atas sebuah kereta yang diparkir di bawah flat tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa mulanya merayau-rayau di kawasan Kulim sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

“Mangsa dibawa pulang oleh Komuniti Kepolisian Masyarakat Butterworth ke Blok Mak Mandin.

“Sebaik sahaja tiba, mangsa terus buka pintu kereta dan lari naik ke Tingkat 3 Blok 1 Mak Mandin.

“Sejurus itulah orang ramai mendengar bunyi kuat seperti benda jatuh,” katanya.

Menurutnya, saksi kejadian itu memaklumkan mangsa masih boleh berbual dan marah pada bapanya, walaupun jatuh dari tingkat tiga.

“Saksi  kemudiannya menghubungi anggota pertahanan awam dan membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati tiada sebarang usur jenayah berkaitan kejadian.

“Mangsa mengatakan dia terdengar ‘suara’ menyuruh terjun dari flat tersebut.

“Bagaimanapun dia dipercayai kurang siuman dan tinggal bersama bapanya yang sudah tua dan kurang upaya,” katanya.

Mangsa yang bekerja di sebuah kedai makanan itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.

 

Sumber: SinarHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *